Wednesday, November 7, 2007

Lagi Maklumat Lintah

KUALA PILAH, 17 Julai (Bernama) -- Satu-satunya syarikat yang membangun dan memperkenalkan produk yang berasaskan lintah, www Art Soulist Agrotech Sdn Bhd, berhasrat untuk memasuki pasaran United Kingdom (UK) pada tahun depan.
Pengarah eksekutifnya Asmadi Awang berkata syarikat itu akan mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat di negara itu tidak lama lagi untuk membekalkan ekstrak lintah dalam bentuk cecair.
"Untuk permulaan, kita akan menghantar satu tan ekstrak cecair berkenaan yang dianggarkan bernilai RM9.3 juta ke negara tersebut," katanya kepada Bernama selepas perasmian 10 kolam ternakan lintah komersial Aquaagro Enterprise oleh anggota Dewan Undangan Negeri Johol Datuk Roslan Md Yusof di Kampung Dingkir, Inas, Johol dekat sini, baru-baru ini.
Pada majlis yang sama, Asmadi turut menyerahkan MoU di antara Art Soulist Agrotech Sdn Bhd dengan syarikat vendornya, Aquaagro Enterprise, kepada pengurusnya, Arifin Abdul Jalil.Art Soulist Agrotech Sdn Bhd mula beropersi pada tahun 1999 dengan matlamat utama untuk mempelopori pengekstrakan lintah khususnya untuk tujuan perubatan dan kosmetik. Hasil produk ekstrak berasaskan lintah itu terdiri dari cecair, serbuk dan minyak.
Lintah adalah produk asas syarikat tersebut manakala produk utama iaitu minyak lintah tapa telah mendapat sambutan di kalangan pengguna. Antara produk lain berasaskan lintah yang dihasilkan oleh syarikat itu ialah minyak krim, losyen, gel tapa, kopi tapa, kapsul tapa dan tapa ring. Asmadi berkata pada bulan lepas, syarikatnya telah memasuki pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea dan Jepun untuk produk siap iaitu minyak lintah tapa.
Beliau berkata syarikatnya menyasarkan penternakan lintah secara komersial sebanyak 1,000 kolam yang bakal diusahakan oleh 1,000 orang peserta pengusaha ternakan lintah komersial menjelang hujung tahun ini bagi menampung bekalan lintah yang semakin berkurangan sama ada di dalam negara mahu pun di luar negara.
"Setakat ini kita telah melahirkan 500 orang pengusaha dengan 400 kolam di seluruh negara," katanya.Katanya penternakan lintah secara komersial adalah merupakan pertama kali diadakan di Asia dan Malaysia khususnya.
"Perkembangan teknologi dunia perubatan dan kosmetik yang melibatkan haiwan eksotik seperti lintah bukan suatu perkara yang baru di negara Eropah dan ini merupakan satu peluang kami untuk menerajui bidang ini dan mengkomersialkannya di Malaysia dan Asia.
"Kami bukan sahaja ingin menjadi syarikat pertama dalam perusahaan ini tetapi juga kami ingin menjadi satu-satunya syarikat pengeluar lintah yang utama di peringkat Asia dan berkembang maju dalam keperluan bidang perubatan dan kosmetik.
"Adalah menjadi matlamat kami untuk melahirkan usahawan Bumiputera yang berjaya dalam bidang perternakan lintah melalui projek penternakan kontrak atau menggunakan sistem vendor atau pembekal lintah yang berdaftar kepada syarikat Art Soulist Agrotech Sdn Bhd," katanya.
Katanya konsep pembentukan vendor untuk komoditi basah keperluan syarikat seperti lintah, membantu melahirkan ramai usahawan dalam bidang penternakan, perladangan dan pertanian.
Katanya kegiatan agroteknologi secara tidak langsung memberi impak yang besar kepada bidang farmasiutikal, herbasiutikal, kosmesiutikal, industri bioteknologi, kontrak penyelidikan dan juga bidang pengeluaran.
Selaras dengan itu, katanya syarikatnya tampil merencanakan semua aktiviti ini dalam operasi syarikat untuk membangunkan taraf hidup masyarakat Bumiputera.
Sementara itu, Arifin, 48, berkata beliau mendapat pinjaman sebanyak RM30,000 dari Yayasan TEKUN Nasional untuk membiayai projek tersebut.
Anak jati Johol dan bekas pegawai bank itu berkata keadah ternakan lintah yang digunakan ialah pembiakan dan ternakan secara intensif di kolam tanah.
"Terdapat dua kaedah yang biasa digunakan dalam pembiakan dan ternakan lintah iaitu sistem pembiakan secara semula jadi dalam kolam tanah dan bekas akuarium. Namun kaedah yang paling berkesan adalah melalui kolam tanah.
"Dianggarkan keluasan kolam tanah 1,200 kaki persegi dan kedalaman dua kaki. Sebanyak dua kilogram induk lintah dilepaskan di setiap kolam di mana anggaran benih yang dapat dihasilkan untuk seekor induk lintah adalah sebanyak 320 ekor.
"Proses pengawanan lintah mengambil masa selama 14 hari dan membesar sehingga lima hingga enam bulan. Selepas enam bulan dari kemasukan induk, lintah sudah sedia di tuai atau dipasarkan," katanya. Katanya Art Soulist Agrotech Sdn Bhd akan membeli dengan harga RM60 setiap sekilogram lintah dewasa daripada pengusaha lintah terbabit.

No comments: