Tuesday, December 23, 2008

Mahen 'tawan' lintah


BENIH lintah yang akan dijual kepada pembeli yang diusahakan Mahekhamay Agrotech Farms Jalan Kuala Pilah, Seremban

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

SEREMBAN 22 Dis. - Apabila sebut lintah, ramai yang geli dan tidak kurang pula yang menutup telinga kerana tidak mahu mendengar kisah 'si penyedut darah' ini.

Tetapi jika kita terus bersembang dan bercerita mengenai lintah, ia akan membuatkan anda merasa terpukau, terpegun dan tidak kurang juga yang balik ke rumah memikirkan cara untuk melabur dalam sektor pertanian melalui penternakan lintah.

Inilah yang dibuktikan seorang pemuda apabila menjadikan usaha menternak lintah sebagai pendapatan lumayan selepas menyedari ia cukup berpotensi untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

Mahekhamay Agrotech Farms (MKAF), syarikat yang membekalkan dan menjalankan perniagaan lintah, kini terus mendapat permintaan di dalam dan luar negara.

Menurut pengusahanya, M. Mahen, perniagaan berasaskan lintah ini mula diceburi sejak dua tahun lalu dan setakat ini syarikatnya memiliki 3,000 tangki lintah untuk dibekalkan kepada penternak di seluruh negara.

Tambahnya, walaupun ada sesetengah individu yang berasa geli dengan haiwan ini apatah lagi untuk menternaknya, namun di negara barat bidang ini sudah lama diterokai.

Ini kerana pengamal perubatan moden menggunakan air liur lintah yang dipanggil hirudin untuk rawatan pembedahan dan kosmetik.

''Saya rasa penglibatan saya dalam industri penternakan lintah ini amat berbaloi selain mendapat pasaran yang begitu meluas.

''Setakat ini pasaran lintah berjaya menembusi Singapura dan permintaan menggalakkan berikutan setiap bulan kira-kira 4.5 juta ekor lintah dieksport ke negara itu.

''Jadi apabila ternakan ini dibuat secara serius di negara ini, ia nyata memberi pulangan pendapatan yang baik ditambah pula faktor cuaca di negara yang sesuai," katanya.

Mahen memberitahu, ternakan secara berskala kecil melibatkan modal sekitar RM5,230 bagi satu tangki poli bersaiz 2.5 kaki x 3.5 kaki yang menempatkan 2,000 ekor lintah.

''Biasanya proses dari pembesaran lintah sebelum ia sesuai dijual memakan masa enam bulan dan saiznya sekitar tiga hingga empat inci.

'' Selepas tempoh itu, hasil pendapatan yang bakal diterima oleh penternak pula dianggarkan RM15,000," katanya.

Mahen turut menjelaskan, lintah tidak memerlukan penjagaan khusus kerana ia hanya perlu diberi makan darah ikan keli atau belut seminggu sekali selain memastikan sistem cahaya dan pengudaraan cukup.

''Ia mudah kerana tidak perlu kerap tukar air dan ia boleh membiak dari semasa ke semasa. Kerjanya mudah kerana perlu bagi lintah makan seminggu sekali," ujarnya.

Mahen memberitahu, pihaknya juga turut memberi taklimat dan lawatan tapak secara percuma kepada mereka yang berminat untuk menjadi penternak.


Selain dari itu, pihaknya turut menyediakan pakej kepada mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan berskala kecil dan besar.

''Untuk skala kecil, mereka boleh menggunakan satu atau dua tangki dan jaga dibelakang rumah atau laman sendiri.

''Bagi mereka yang mahu berskala besar lebih daripada 50 tangki, MKAF juga menyedia bantuan teknikal untuk tangki-tangki tersebut," katanya.

Jelas Mahen, pengusaha juga tidak perlu bimbang mengenai bagaimana untuk memasarkan lintah apabila cukup tempoh kerana MKAF sendiri boleh membantu.

''Syarikat itu akan membeli semula lintah-lintah yang diternak oleh mereka,'' katany

Saturday, December 6, 2008

Bengkel pembenihan keli aruhan



BAGI memenuhi permintaan pengguna yang berminat mempelajari pelbagai jenis ternakan dan pertanian, sebuah syarikat penggerak aktiviti akuakultur dan pertanian akan mengadakan bengkel pembenihan keli sepanjang Disember 2008 hingga Mac 2009.

Pengarah Projek, Nur Azizi Rapie berkata, bengkel berkenaan bertujuan memberikan pengetahuan dan melahirkan usahawan tani atau penternak ikan air tawar menghasilkan anak benih sendiri bagi menjimatkan kos dan memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

“Salah satu faktor penghalang industri air tawar berkembang maju ialah kesukaran pengusaha untuk mendapatkan bekalan anak benih.

“Anak benih keli bermutu tinggi mendapat permintaan yang besar dengan harga seekor bersaiz tiga inci antara 10 hingga 20 sen.

“Apabila pengusaha mampu mengeluarkan anak benih sendiri, projek dapat dijalankan mengikut jadual tanpa menunggu bekalan dari tempat lain,” katanya.

Kos membeli anak benih tadi dapat disalurkan kepada makanan ikan yang semakin hari meningkat.

Bengkel ini akan mendedahkan peserta mengenai kemahiran menghasilkan benih keli menerusi teknik aruhan.

Teknik aruhan dilakukan dengan menyuntik hormon kepada induk- induk keli di mana induk betina akan diperah telurnya dan induk jantan dibedah bagi mendapatkan sperma.

Peserta juga akan didedahkan dengan cara membuat makanan anak benih keli yang berusia empat hari sehingga satu bulan.

Kursus praktikal pembenihan ikan keli teknik aruhan akan dilangsungkan pada 13 dan 14 Disember di ladang Prestasi Agro Farm, Bukit Lagong, Selayang.

Bagi mereka yang berminat mendalami kemahiran pembenihan ikan keli boleh menghubungi sekretariat di 012-6138059 atau 012-6157937.

Wednesday, December 3, 2008

HUKUM PERNIAGAAN CACING DAN LINTAH.



Firman Allah: "Dialah (Allah) yang telah menjadikan untuk manfaat/kegunaan kamu segala yang ada di atas muka bumi" (al-Baqarah, ayat 29). Berdasarkan ayat ini dan seumpamanya, para ulamak memutuskan bahawa sekelian yang bermanfaat bagi manusia di atas muka bumi ini hukumnya adalah harus selagi tidak ada nas (dalil al-Quran atau as-Sunnah) yang melarang atau menegahnya. Kerana itu, perkara yang perlu dipersoalkan tentang hukum cacing dan lintah itu ialah adakah terdapat dalil dari al-Quran dan as-Sunnah yang mengharamkan cacing sama ada untuk makanan atau untuk kegunaan-kegunaan lain.

Dari segi Fiqh, cacing termasuk dalam kategori binatang-binatang yang melata di atas bumi seperti ulat, serangga, cacing, lipan, kala dan sebagainya. Dalam menjelaskan hukum memakannya, para ulamak terbahagi kepada dua pandangan;

Pertama: Haram memakannya kerana ia adalah keji. Mereka berdalilkan firman Allah (bermaksud); "Dan dia menghalalkan untuk mereka yang baik-baik dan melarang ke atas segala yang keji-keji" (al-A'raf; 157)

Pandangan pertama ini adalah pandangan jumhur ulamak. Bagi mereka; maksud keji dalam ayat di atas ialah yang dipandang jijik oleh manusia terutamanya masyarakat Arab. Setiap yang dipandang keji oleh tabiat manusia yang normal, maka memakannya adalah haram sekalipun tidak disebut pengharamannya secara khusus oleh al-Quran atau Hadis.

Kedua: Ulamak-ulamak mazhab Maliki berpandangan; tidak haram memakannya kecuali jika diketahui boleh mendatangkan mudarat pada badan. Hujjah mereka ialah; tidak ada nas yang menunjukkan pengharamannya. Adapun mengenai ayat di atas, mereka tidak sependapat dengan jumhur ulamak di atas. Bagi mereka, maksud keji dalam ayat di atas bukanlah diukur berdasarkan perasaan atau fitrah manusia, tetapi berdasarkan nas Syarak (yakni al-Quran atau Hadis Nabi s.a.w.). Jadi "yang keji-keji" dalam ayat di atas maksudnya ialah yang diharamkan oleh Syarak seperti bangkai, darah, daging babi dan sebagainya. Adapun binatang-binatang melata itu, tidak ada dalil dari Syarak yang mengharamkannya, maka ia kekal atas hukum asalnya iaitu harus, kecualilah jika boleh mendatangkan bahaya atau mudarat maka haramlah ia dengan sebab tersebut, bukan dengan sebab kedudukannya sebagai binatang yang melata.

Itu adalah hukum memakannya. Bagaimana pula hukum memanfaatkannya dengan kegunaan-kegunaa lain dari sebagai makanan? Katakanlah kita berpegang dengan pandangan jumhur yang mengharamkan kita memakannya, adakah ia bermakna haram juga kita memanfaatkannya untuk kegunaan lain? Jawapannya; tidak. Tahi lembu, tahi ayam dan sebagainya; haram kita memakannya, namun Syarak mengharuskannya untuk digunakan sebagai baja tanaman. Malah ulamak-ulamak mazhab Hanafi mengharuskan menjualnya melihat kepada manfaatnya walaupun dari segi zatnya ia adalah najis. Tegasnya, tidak semua yang haram dimakan, haram pula dimanfaatkan untuk kegunaan lain selain makanan.

Dalam sebuah hadis, Ibnu 'Abbas r.a. menceritakan; "Nabi s.a.w. telah melihat seekor kambing yang mati. Lalu Nabi s.a.w. berkata kepada sahabat-sahabatnya; 'Kenapa kamu tidak mengambil kulitnya, kemudian menyamaknya dan memanfaatkannya' . Mereka menjawab; "Ia adalah bangkai, wahai Rasulullah'. Baginda menjawab; "Yang haram ialah memakannya" (HR Imam Muslim).

Hadis ini menunjukkan bahawa tidak semua yang haram dimakan, haram pula memanfaatkannya untuk kegunaan lain –selain makanan-. Kita telah menjelaskan di awal tadi bahawa; semua yang bermanfaat bagi manusia di atas muka bumi ini hukumnya adalah harus selagi tidak ada nas yang melarang atau menegahnya. Maka sekalipun kita berpegang dengan pandangan jumhur yang mengharamkan kita memakan cacing dan lintah, namun itu tidak bermakna haram pula untuk kita memanfaatkanya untuk kegunaan lain, kecualilah jika ada nas lain pula yang mengaramkan kita memanfaatkannya. Selagi tidak ada nas yang melarang, haruslah kita memanfaatkannya.

Satu persoalan lagi; adakah semua yang haram dimakan dianggap najis oleh Syarak? Jawapannya; tidak. Semua najis haram dimakan, namun tidak semua yang haram dimakan adalah najis. Para ulamak menjelaskan; asal setiap benda yang wujud di atas muka bumi ini adalah suci hinggalah terdapat nas dari al-Quran dan Hadis Nabi yang menegaskan ia adalah najis dan perlu dikeluarkan dari hukum asal itu. Cacing dan lintah, walaupun haram memakannya kerana dianggap keji oleh manusia (berdasarkan pandangan jumhur), namun keduanya tidak boleh dianggap najis melainkan ada nas (dalil) dari al-Quran atau as-Sunnah yang menjelaskan keduanya sebagai najis. Selagi tidak ada nas yang menyebutkan keduanya sebagai najis, kekallah mereka atas hukum asal iaitu suci.

Kesimpulannya, berdasarkan penerangan di atas saya berpandangan: harus menternak dan menjual cacing dan lintah untuk tujuan-tujuan dan kegunaan-kegunaan selain makanan manusia sama ada dijadikan baja, bahan kosmetik, makanan ternakan dan sebagainya kerana tidak ada nas yang melarang kita dari memanfaatkannya dan tidak ada nas yang menyebutkannya sebagai najis. Adapun untuk dijadikan makanan manusia, hukumnya tidak harus kerana ia tergolong dalam makanan yang menjijikkan yang dilarang oleh Allah dalam ayat 157 dari surah al-A'raf di atas berdasarkan tafsiran jumhur ulamak.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-At'imah Wa az-Zabaih Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Abu Sari' 'Abdul-Hadi.
2. Majmu' al-Fatawa, Imam Ibnu Taimiyyah, juz. 5.
3. Fiqh at-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
4. Tafsir al-Qurtubi (ayat 157, surah al-A'raf).
5. Tafsir Ibnu Kathir (ayat 157, surah al-A'raf).


TULISAN: USTAZ AHMAD ADNAN FADHIL
Ijazah Sarjana Muda (Syari'ah) Uni. Al-Azhar (1997). Dipl. Takhassus Fiqh (Pra M.A) INSANIAH-Al- Azhar (2004).

Saturday, November 29, 2008

Pengurusan Lembu Pedaging Secara Fidlot


Fidlot merupakan satu sistem pemeliharaan lembu pedaging di dalam kandang secara sepenuh masa yang menggunakan makanan lengkap terumus supaya ternakan dapat dibesarkan dan dipasarkan dengan cepat. Pembesaran dan penggemukan lembu dalam penternakan fidlot adalah berdasarkan kepada konsep bahawa penggunaan makanan terumus paling cekap jika lembu diternak dalam satu kawasan tanpa banyak menggunakan tenaga untuk menjalankan aktiviti-aktiviti selain daripada meningkatkan berat badan. Penternakan secara intensif ini tidak memerlukan kawasan yang luas dan lebih praktikal berbanding dengan sistem pemeliharaan secara tradisional atau sistem pengeluaran berasaskan pastura terbuka atau sistem integrasi dengan tanaman utama. Walaupun sensitif terhadap kos input, penternakan fidlot didapati berdaya maju sekiranya diuruskan dengan baik dan boleh memberi pulangan atau hasil yang cepat. Kandungan kursus meliputi keperluan infrastruktur, pemilihan baka lembu untuk fidlot, pengurusan ternakan secara intensif, perumusan dan penggunaan bahan-bahan sampingan agro-industri sebagai sumber makanan, serta ekonomi pengeluaran lembu secara fidlot. Kursus ini juga akan mengenengahkan pengalaman pengusaha fidlot yang berjaya, dan mengetahui kemudahan- kemudahan yang ditawarkan dari syarikat perbankan. Kursus ini memberi panduan kepada penternak supaya mereka dapat mengusahakan penternakan fidlot dengan sistematik bagi mendapatkan pulangan yang tinggi. Kursus ini sesuai dihadiri oleh mereka yang berminat dalam penternakan, pengeluar atau pengilang makanan ternakan, pengeluar lembu dan kerbau pedaging, pengusaha fidlot, penternak kecil dan penternak komersial, pegawai pengembangan dan penuntut/ pengajar dari institusi pengajian tinggi.

Monday, September 15, 2008

Ternak Lintah Komersil



siapa yang minat hubungi telefon di atas

Wednesday, September 10, 2008

Jambu Madu



Jambu Madu yang ditanam di Padang Tengku