Fidlot merupakan satu sistem pemeliharaan lembu pedaging di dalam kandang secara sepenuh masa yang menggunakan makanan lengkap terumus supaya ternakan dapat dibesarkan dan dipasarkan dengan cepat. Pembesaran dan penggemukan lembu dalam penternakan fidlot adalah berdasarkan kepada konsep bahawa penggunaan makanan terumus paling cekap jika lembu diternak dalam satu kawasan tanpa banyak menggunakan tenaga untuk menjalankan aktiviti-aktiviti selain daripada meningkatkan berat badan. Penternakan secara intensif ini tidak memerlukan kawasan yang luas dan lebih praktikal berbanding dengan sistem pemeliharaan secara tradisional atau sistem pengeluaran berasaskan pastura terbuka atau sistem integrasi dengan tanaman utama. Walaupun sensitif terhadap kos input, penternakan fidlot didapati berdaya maju sekiranya diuruskan dengan baik dan boleh memberi pulangan atau hasil yang cepat. Kandungan kursus meliputi keperluan infrastruktur, pemilihan baka lembu untuk fidlot, pengurusan ternakan secara intensif, perumusan dan penggunaan bahan-bahan sampingan agro-industri sebagai sumber makanan, serta ekonomi pengeluaran lembu secara fidlot. Kursus ini juga akan mengenengahkan pengalaman pengusaha fidlot yang berjaya, dan mengetahui kemudahan- kemudahan yang ditawarkan dari syarikat perbankan. Kursus ini memberi panduan kepada penternak supaya mereka dapat mengusahakan penternakan fidlot dengan sistematik bagi mendapatkan pulangan yang tinggi. Kursus ini sesuai dihadiri oleh mereka yang berminat dalam penternakan, pengeluar atau pengilang makanan ternakan, pengeluar lembu dan kerbau pedaging, pengusaha fidlot, penternak kecil dan penternak komersial, pegawai pengembangan dan penuntut/ pengajar dari institusi pengajian tinggi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment