Sunday, October 28, 2007

Perubahan Dalam Agensi Pertanian Mungkin Bakal Dilaksanakan

SEREMBAN, 28 Okt (Bernama) -- Perubahan dan penambahbaikkan operasi dalam agensi tertentu yang menguruskan pembangunan pertanian negara mungkin akan dilaksanakan bagi menepati hasrat kerajaan membangunkan sektor pertanian secara lebih berkesan.Dalam membayangkan perkara ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah ini perlu supaya agensi berkenaan akan lebih berkesan dalam menepati sasaran operasi mereka."Mengenang bahawa sektor pertanian mempunyai pengaruh yang kuat dalam membangunkan ekonomi negara, terutamanya dalam basmi kemiskinan dan meningkatkan taraf sosio ekonomi orang Melayu, kerajaan telah menubuhkan beberapa agensi untuk menguruskan pembangunan pertanian yang lebih spesifik."Agensi-agensi seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan rancangan tanah baru yang lain: dan agensi yang berorientasikan penyelidikan, perkhidmatan dan pemasaran seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang dipertanggungjawabkan membantu menangani sebarang masalah dan kekurangan di kalangan petani dan nelayan kita."Sejauh manakah pencapaian agensi-agensi ini dalam membimbing dan membangunkan petani? Atau kita mahukan satu kajian semula dilakukan, penambahbaikkan, dirombak struktur dan operasinya, dasar dan fungsinya supaya agensi berkenaan akan lebih menepati sasaran dan sesuai dengan zamannya supaya masyarakat petani Melayu kita akan lebih terbela."Muhyiddin berkata demikian dalam ucaptama beliau bertajuk "Anjakan Paradigma: Dalam Transformasi Sektor Pertanian" di Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007, di sini hari ini.Beliau juga turut merasa hairan bagaimana Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) yang telah ditubuhkan sejak 1894 masih lagi gagal mengubah nasib nelayan."Sudah tiba masanya untuk kita merombak dan membuat penstrukturan menyeluruh sektor pertanian ini," katanya.Dalam mengevolusikan sektor pertanian negara, Muhyiddin yang juga pengerusi Biro Pertanian UMNO Malaysia berkata beberapa cadangan atau langkah boleh diambil oleh masyarakat petani dalam menambahkan lagi sumber pendapatan bulanan mereka."Sebagai contoh misalnya, mungkin kita boleh rancangkan satu program yang dipanggil "Pelan Keluar" untuk pesawah padi menukar tanaman mereka kepada kelapa sawit bagi projek "biofuel" negara yang lebih menguntungkan petani"Muhyiddin berkata langkah ini secara tidak langsung boleh melonjakkan pembangunkan sektor pertanian negara maju ke hadapan daripada mundur, miskin dan ke belakang.Beliau juga berkata cadangan atau langkah ini tidak perlu disalah erti dengan menyifatkan: "Ia sekadar untuk membuat provoksai minda masyarakat Melayu."-- BERNAMA

No comments: